2010/07/10
Sepanyol labur wang untuk cari pemain baru di kalangan rakyat sendiri
LONDON: Episod memalukan England di Piala Dunia boleh dituding kepada kegagalan Liga Perdana Inggeris memupuk bakat tempatan, kata presiden La Liga Sepanyol. Jose Luis Astiazaran mempersoalkan bilangan pemain muda dari luar di kelab Liga Perdana dan berkata, faktor utama yang membawa Sepanyol ke final Piala Dunia bertemu Belanda kali ini adalah kerana ‘77.1%’ pemain liga domestik adalah warga negaranya, berbanding 40% di England. “Dalam La Liga, 77.1% pemainnya adalah anak watan Sepanyol, 16.7% Eropah dan 6.7% bukan Eropah,” kata Astiazaran. “Strategi kami ialah bekerja keras dengan pemain muda tempatan dan cuba menggabungkan mereka dengan pemain berpengalaman.
“Kenapa bilangan pemain asing dalam La Liga tidak ramai? Kerana kami melaburkan lebih banyak untuk membangunkan generasi baru pemain Sepanyol berbanding pemain dari luar. England sering mengambil pemain berusia 14, 16 tahun dari luar. Mereka ini bukan pemain Inggeris.
“Inilah antara perbezaan paling ketara antara Sepanyol dan England. Kami lambak duit untuk pemain muda Sepanyol. Di Arsenal, Liverpool dan Manchester United, ada ramai pemain muda kami, Perancis dan Itali - sebab itu sukar mencari pemain muda mereka sendiri.”
Menurut Astiazaran, pemain asing ini tidak akan bermain untuk pasukan kebangsaan England. “Memang bagus mengambil penjaga gol dari luar negara, tetapi berapa ramai penjaga gol berbangsa Inggeris dalam Liga Perdana?” kata Astiazaran.